بسم الله الرحمن الرحيم
Di antara rumah-rumah penduduk Makkah, terdapat sebuah rumah di
kawasan Bani Makhzum. Salah seorang penghuninya adalah seorang gadis. Ia
dilahirkan dan membesar di Makkah. Gadis itu bernama Rithah Al-Hamqa.
Setelah usianya mencecah remaja, hatinya mula terbuka untuk
menjalani kehidupan seperti lazimnya para wanita, iaitu mempunyai suami dan
anak-anak. Dia sering melamun dan mengkhayalkan perkahwinan. Ia tidak ingin
menjadi anak dara tua.
“Ah, betapa bahagianya... Orang akan beramai-ramai menghantarkan
aku menuju rumah calon suamiku...,” begitulah yang kerap terlintas dalam
lamunannya.
Dengan tidak sabar Rithah menanti hari yang dibayangkannya penuh
keindahan dan kenikmatan itu. Di saat fikirannya penuh dengan segala khayalan
dan lamunan, ayahnya yang bernama Umar membangkitkan harapan yang hampir hilang
dari hatinya.
Kata ayahnya:
“Rithah, puteriku... aku akan mengunjungi berhala-berhala kita.
Akan kuberikan dirham yang banyak kepada pengawalnya, dan akan kulumuri kedua
kakinya dengan darah kambing yang gemuk, agar dia menjadi senang kepadamu,
kemudian mengirimkan dua orang pemuda yang terhormat kepada kita untuk
meminangmu.”
Kata-kata itu membangkitkan harapan baru dalam hati Rithah. Hari
demi hari pun berlalu.
Selama itu pula Rithah selalu berdiri di depan cermin memandang
dirinya sambil terus bertanya-tanya:
“Mengapakah sampai hari ini tidak seorang pun datang meminangku?
Mengapa? Padahal, ayahku, mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di tengah
kaumnya, Bani Makhzum. Sedang aku sendiri... inilah wajahku, di sebalik kaca...
Mengapa para pemuda tidak tergerak untuk mengahwiniku? Apakah aku kurang
cantik?”
Soalan-solan itu selalu menghantui fikirannya. Hanya air mata
yang mengalir dari kedua matanya, yang meringankan kesedihan dan beban yang
dirasakannya.****
Tiba-tiba terdengar suara langkah yang berjalan mendekati
biliknya. Dia segera mengusap air matanya. Orang yang datang itu ternyata
ibunya sendiri. Selama ini pertemuannya dengan sang ibu sering kali justeru
menambah kesedihan dan duka dalam hatinya. Ibunya mendekati Rithah. Dia
menghulurkan tangan memeluk leher puterinya kemudian mendakapkannya ke atas
pangkuan seraya berkata:
“ Tenanglah engkau, hai puteriku... seorang ahli nujum dari
Thaif telah memberitahukan kepadaku bahawa kamu akan dibawa ke rumah pengantin
pada saat bulan purnama.”
Rithah tersenyum. Di wajahnya terlukis harapan dan kegembiraan
sekaligus, dan dia bertanya, “Benarkah apa yang ibu katakan itu?”
Ibunya menjawab, “Demi Tuhan, aku tidak memberitahukan kepadamu
melainkan yang sebenarnya.”
Rithah menarik nafas, kemudian berkata, “Tetapi ibu tidak pergi
bersamaku ke Thaif agar aku dapat bertemu dengan ahli nujum itu. Jangan-jangan
ibu hanya bermaksud membangkitkan harapan dalam hatiku...”
Sambil mengusap wajah puterinya, sang ibu menjawab dengan
meyakinkan agar puterinya merasa tenang dan percaya, “Aku telah menemuinya
kelmarin di biaranya. Beberapa orang telah memikulnya untuk melakukan tawaf di
Kaabah. Ketika selesai, dia merasa sangat haus, lalu pergi ke sumur zamzam untuk
minum.
Ketika itulah aku cepat-cepat menyelipkan sekerat emas ke
tangannya. Kutanyakan kepadanya tentang perkahwinanmu. Setelah mendongak ke
langit dan mengamati bulan, dengan suaranya yang lemah ahli nujum itu berkata,
“Perkahwinan akan terjadi di saat bulan purnama seperti ini!”
Belum selesai si ibu bercerita, wajah Rithah sudah berseri-seri
penuh kebahagiaan. “Tuhan telah rela kepadaku. Tuhan akan mengirimkan orang
yang akan mengahwiniku,” katanya dalam hati. Rithah berputar-putar dalam
biliknya, menari penuh kegembiraan, sementara ibunya hairan melihat perbuatan
puterinya itu. Tak lama, Rithah berhenti kemudian berkata, “Terima kasih,
Tuhan, terima kasih...”
Tetapi, tepat disaat Rithah selesai mengucapkan terima kasihnya
kepada Tuhan, dia mendengar ayahnya berkata, “Apakah yang terjadi, Rithah?”
Melihat itu ibunya cepat-cepat menuju ke pintu bilik dan
berkata, “Rithah akan diiringkan ke rumah suaminya beberapa hari lagi!”
Kedua mata Umar merah dan kemarahan nampak jelas di wajahnya.
Baginya, ucapan isterinya itu justeru merupakan serangan yang menyakitkan.
“Bagaimana mungkin Rithah akan diiringkan beberapa hari lagi
tanpa dipinang dulu dariku?” katanya dengan nada keras.
Isterinya menjawab, “Tak apa-apa, wahai Umar!”
Mendengar jawapan itu, tiba-tiba Umar menampar isterinya hingga
jatuh ke lantai. Melihat ibunya terjatuh, Rithah merasa seperti disambar petir
yang menggelegar. Dia mendekati ibunya sambil menjerit, “Ibu, ibu...”
Masih dalam keadaan duduk sambil menahan rasa sakit, sang isteri
berkata kepada suaminya, ”Apa yang engkau anggap salah itu, pada pendapatku,
benar.”
Mendengar itu, semakin bertambahlah kemarahan Umar. Dia berkata,
“Aku mengerti apa yang kamu katakan kepadanya. Kamu bermaksud membeli seorang
suami untuk puteriku tanpa bermesyuarat denganku!”
Ucapan ayahnya itu menghunjam hati Rithah. Dia merasa
seakan-akan hatinya ditusuk dengan sebuah pisau yang tajam. Hatinya resah,
seolah-olah kehidupan telah tercabut dari dirinya. Di pihak lain, mendengar
ucapan suaminya, dan melihat diri puterinya yang cemas, sang ibu menjadi
bertambah bingung, tapi kemudian dia berkata, ”Suamiku, sesungguhnya apa yang
aku katakan kepadamu sesuai dengan apa yang dikatakan kepadaku oleh seorang
ahli nujum dari Thaif.”
Umar menarik nafasnya dalam-dalam dan berjalan ke arah puterinya
yang tertekan perasaan sedih. Dia memeluk puterinya, dan berkata, “Tidak! Aku
tidak percaya hal itu akan terjadi. Tidak, tidak!”
“Percayalah, hai anakku, ahli nujum Thaif itu tidak berdusta dan
tidak mungkin salah!” ujar ibunya. Demikianlah kedua orang tua itu bersahut-sahutan, hingga sedikit
demi sedikit jiwanya yang sedang goncang dan bingung itu beransur tenang
kembali.
****Matahari terbit, kemudian tenggelam. Rithah memasang kedua
telinganya sepanjang hari. Dia memerhatikan setiap langkah yang mendekati
rumahnya. Fikirnya, jangan-jangan itu langkah calon suaminya yang telah
dijanjikan ahli nujum dari Thaif itu. Hari-hari berlalu, dan terasa begitu lama
bagi Rithah. Dia merasa seakan-akan lehernya diikat dengan tali yang sangat
kuat.
Malam pun tiba. Rithah naik ke atas rumah untuk memandang sudut
Kaabah dan melihat orang yang sedang mengelilingi bangunan hitam itu. Mereka
yang mengelilingi Kaabah itu terdiri dari lelaki dan perempuan. Mereka bergerak
tiada hentinya.
Musim haji telah dekat, dan tamu-tamu datang ke Makkah dari
setiap penjuru, sehingga jumlahnya menjadi sangat ramai. Orang-orang itu
membawa hadiah-hadiah yang akan dipersembahkan kepada berhala-berhala yang di
sekeliling Kaabah. Juga hadiah untuk penjaganya.
Melihat semua itu, timbullah pertanyaan dalam hati Rithah,
“Apakah yang dikatakan oleh ahli nujum itu akan jadi kenyataan? Bukankah takdir
dapat menarik salah seorang diantara para pemuda ke rumahku untuk meminang
diriku?”
Rithah mendongakkan wajahnya ke langit. Bulan telah berubah
mendekati kesempurnaannya. Beberapa malam lagi bulan akan sempurna menjadi
purnama. Apakah harapan akan menjadi kenyataan? Apakah benar dia akan
diiringkan beberapa hari lagi? Pertanyaan-pertanyaan itu selalu datang dan
tidak diperolehinya jawapan selain keraguan dan kegelisahan.
Kini, bulan purnama telah sempurna, tetapi tidak sebuah
“bintang” pun datang meminangnya. Tanpa diketahuinya, sang ibu mendekatinya.
Saat itu Rithah sedang menenggelamkan wajahnya ke atas pangkuannya sendiri
kerana sedih. Kemudian Rithah mengangkat kepalanya dengan berat untuk mendengar
ibunya berkata, ”Ahli nujum Thaif itu tidak berdusta, anakku.”
Rithah balik bertanya, ”Bila tidak berdusta, mengapa tidak
datang juga orang yang akan mengahwiniku? Tidak ada orang yang seumurku ini
belum kahwin!”
Sambil memegang kepala puterinya, sang ibu berkata, “Nanti kamu
akan kahwin juga, anakku, ketika bulan purnama telah sempurna.”
Mendengar itu Rithah berteriak, “Bulan purnama telah sempurna,
ibu!”
Ibunya menjawab,”Perkahwinanmu tidak harus terlaksana pada bulan
ini, boleh terjadi pada bulan mendatang atau bulan yang seterusnya lagi.”
Rithah segera berkata, “Aku tidak percaya! Aku tidak percaya!”
Dan dia mengulang-ulangi perkataan itu. Ketika telah habis suaranya kerana
berteriak, barulah dia merasakan ketenangan yang mendalam, seperti ketenangan
orang yang telah mati.
Selama berlangsungnya “drama” kesedihan Rithah itu, sang ayah
dengan setia mengintip dari balik pintu. Hatinya sedih melihat penderitaan anak
dan isterinya. Dia tidak sampai hati melihat apa yang menimpa diri puterinya
itu.
****
Matahari terbit, kemudian tenggelam. Siang dan malam berlalu,
sedang Rithah tidak juga berubah. Satu-satunya perubahan, ayahnya kini telah
tiada, meninggal dunia setelah menderita sakit beberapa hari, dan ayahnya
meninggalkan harta warisan yang banyak untuk dia dan ibunya. Akan tetapi,
apakah ertinya harta jika keinginannya untuk bersuami tidak terlaksana? Hari
demi hari berlalu, dia tetap merasa sedih dan wajahnya selalu nampak gelisah.
Ahli nujum dari Thaif itu telah berdusta, begitu juga ahli nujum
lain yang dia datangi bersama ibunya yang selalu menyelipkan wang ke tangan
mereka, kemudian mereka memberitahukan dengan kata-kata yang manis dan
menyampaikan harapan-harapan kosong, fikir Rithah.
Rithah bertanya kepada dirinya sendiri, “Berapakah usiaku
sekarang? Empat puluh tahun? Tidak! Bahkan lebih dua tahun! Tidak! Sebenarnya
kurang dari itu...,” begitulah hatinya bergejolak.
Selama ini, ibunya selalu berusaha meringankan beban
penderitaannya, dan bersamaan dengan pertanyaan-pertanyaan yang menusuk hatinya
itu, seolah-olah pisau yang tajam, ibunya berkata, ”Betapa banyak wanita yang
lebih tua darimu, akhirnya kahwin juga, Rithah.”
Suatu pagi, ketika matahari telah menyinari pergunungan dan
bukit bakau di Makkah, pintu rumah Rithah diketuk orang. Ibunya, yang usianya
sudah lebih dari tujuh puluh tahun, segera bangun untuk membukakan pintu.
Betapa terkejutnya dia, kerana yang datang adalah saudara perempuannya sendiri.
Telah lama tidak pernah dilihatnya, kerana saudaranya ini tinggal di
perkampungan Bani Tamim. Dan di sebelah saudara perempuannya itu, dia melihat
seorang pemuda yang usianya mendekati dua puluh tahun. Ibu Rithah segera
memeluk saudara perempuannya. Saudara perempuannya menyuruh puteranya masuk
sambil berkata kepada ibu Rithah, “Ini anakku, Sukhr.”
Mendengar nama Sukhr, Rithah segera bangkit, dan hilanglah rasa
malas dari dirinya. Dia tak sabar ingin mengetahui, siapakah Sukhr, yang datang
ke rumahnya itu.
“Ini adalah Sukhr, putera ibu saudaramu, Rithah.”
Melihat semua itu, mulalah muncul berbagai pertanyaan di hati
Rithah: Mungkinkah pemuda kacak yang jauh lebih muda dari dia itu datang untuk
meminangnya? Apakah semua yang dikatakan oleh ahli nujum dari Thaif dan
ahli-ahli nujum yang lain itu akan menjadi kenyataan? Namun, lamunan Rithah
segera hilang ketika dia mendengar suara Sukhr berkata, “Selamat saudaraku.”
Rithah menjawab terbata-bata, ”Selamat datang untukmu.”
Perempuan itu bersama puteranya tinggal di rumah Rithah hanya
sebentar. Mereka datang untuk meminang Rithah. Dan menurut rancangan,
perkahwinan akan dilaksanakan sebulan lagi.
Meskipun demikian, hati Rithah masih saja selalu bertanya-tanya.
Mengapa sebelum ini tidak datang seorang pun untuk mengahwininya? Kini, ibu
saudaranya, yang sebelum ini tak pernah dilihatnya, datang bersama puteranya
yang kacak dan mengatakan akan menetap ke Makkah bersama Rithah setelah
perkahwinannya nanti.
Di perjalanan pulang menuju perumahan Bani Tamim, ibu Sukhr
sentiasa berbicara untuk meneguhkan tekad anaknya agar melangsungkan
perkahwinan dengan Rithah. Dia berkata, ”Memang Rithah tidak cantik, tetapi
hartanya banyak.”
“Apakah yang mengharuskan aku mengahwininya, ibu?”
“Hartanya yang banyak akan membuat kamu menjadi kaya raya. Kamu
dapat menjadi seorang saudagar besar. Setelah itu, dengan kekayaanmu, engkau
boleh kahwin lagi dengan wanita lain. Kamu bebas melakukan apa saja kehendakmu.
Tetapi yang penting, jangan engkau biarkan kekayaan Rithah itu terlepas dari
tanganmu!” jawab ibunya dengan penuh semangat.
Waktu terus berjalan. Ibu Rithah meninggal dunia sebelum melihat
putera saudaranya itu melangsungkan perkahwinannya dengan Rithah. Kini Rithah
hidup seorang diri di rumahnya dengan penuh kesedihan. Hatinya bertanya-tanya,
apakah putera ibu saudaranya akan datang mengahwininya sesuai dengan janjinya
dahulu. Ataukah itu hanya tipu muslihat belaka?
Tetapi, tidak lama setelah itu, datanglah perempuan itu bersama
puteranya, Sukhr, untuk melangsungkan perkahwinannya dengan Rithah. Mereka
sebenarnya berbahagia atas kematian ibu Rithah, kerana mereka merasa akan lebih
mudah untuk menguasai harta Rithah.
Hari demi hari berganti, tetapi Rithah tak kunjung merasakan
kebahagiaan hidup bersuami, padahal dia telah menjadi seorang isteri. Tidak ada
orang lain yang tinggal di rumah itu selain dia dan suaminya, Sukhr. Mereka
tinggal berdua.
Rithah pergi menemui berhala-berhala di Kaabah untuk
mempersembahkan korbannya, kerana harapannya telah jadi kenyataan. Sepulangnya
dari Kaabah, dilihatnya wajah Sukhr, suaminya nampak bersedih. Rithah
menghampirinya dan berkata, ”Apa yang membuatmu sedih, Sukhr?”
Sukhr menjawab, “Tidak ada apa-apa, tidak ada apa-apa...”
Tetapi Rithah makin mendekat, dan dengan penuh kasih sayang dia berkata,
”Tidak mungkin! Tentu ada sesuatu yang kamu sembunyikan. Seminggu sejak
perkahwinan kita hingga hari ini, belum pernah kulihat wajahmu bersedih seperti
sekarang.”
“Aku merasa bosan!” jawab Sukhr.
Ucapan Sukhr dirasakan Rithah laksana petir yang menyambar.
“Begitu cepatnya, Sukhr, kamu merasa bosan kepadaku?” Kata
Rithah tanpa sedar.
Tetapi Sukhr dengan tenang menjawab, “Bagaimana aku akan
memiliki sesuatu, sedang kamu adalah isteriku dan anak saudara ibuku?”
Rithah berkata kepadanya, “Kalau begitu, kamu harus mengatakan,
apakah yang menyusahkanmu?”
Sukhr berkata, “Aku ingin pergi ke Syam untuk berdagang agar
kita mendapat keuntungan yang banyak.”
“Apakah yang mendorongmu untuk itu, padahal ayahku meninggalkan
untuk kita berdua harta yang begini banyak?” Tanya Rithah.
“Aku tak mahu menjadi beban bagi seseorang,” Jawab Sukhr.
“Tetapi kamu tidak menjadi beban bagiku, kerana kamu adalah
suamiku. Hartaku adalah hartamu juga..,” Kata Rithah.
Tetapi Sukhr berkata, “Kalau begitu, berilah aku wang untuk
mempersiapkan kafilah ke Syam.”
Rithah memandangi suaminya. Dengan nada sedih, lalu dia berkata,
“Kamu akan meninggalkan aku, Sukhr?”
“Aku akan meninggalkanmu sebulan atau dua bulan, kemudian
kembali ke sisimu untuk selama-lamanya,” Jawab Sukhr.
“Bila berangkat?” Tanya Rithah.
“Beberapa hari lagi,” Jawab Sukhr.
****
Sudah cukup lama Sukhr berangkat, tapi tak kunjung pulang.
Sebulan, dua bulan bahkan tiga bulan berlalu. Rithah kemudian mencari Sukhr.
Dia bertanya kepada setiap penduduk Makkah yang datang dari Syam, dan mereka
menjawab,”Sukhr tidak pergi dengan kafilah mana pun.”
Rithah mula merasa khuatir: apakah yang telah menimpa Sukhr?
Matikah dia atau terbunuh? “Tidak!... Tidak!” demikian Rithah berteriak untuk
menjauhkan perasaan yang bukan-bukan dari dirinya. Setelah berfikir sejenak,
dia memutuskan akan pergi ke perkampungan Bani Tamim untuk mencari maklumat
tentang suaminya yang telah lama menghilang.
Namun, betapa kecewanya hati Rithah ketika berjumpa dengan Sukhr
yang dengan tergagap-gagap menyatakan kepadanya bahawa wangnya telah dicuri
orang.
Rithah bertanya, “Mengapa kamu tidak kembali untuk
memberitahukan hal itu kepadaku?”
Sukhr menjawab,”Untuk apa aku harus memberitahukannya kepadamu,
sedang kamu tak mungkin lagi menjadi isteriku. Lagi pula, bagaimana jiwa mudaku
dapat tumbuh subur dengan wanita tua seumpama kamu...!” Lalu Sukhr pergi
meninggalkan Rithah seorang diri.
Saat itu Rithah merasa seakan bumi telah menggoncangkannya dan
menjadi kiamat. Segala sesuatu menjadi gelap dalam pandangan kedua matanya.
Akan tetapi dia tetap mencari Sukhr. Dia terus bertanya tentang Sukhr kepada
kaumnya. Dia mendapatkan jawapan bahawa Sukhr kini diasingkan oleh
teman-temannya dan diusir, kerana telah melakukan sesuatu yang tidak disenangi.
Meski demikian, Rithah masih bertanya,”Di mana dia sekarang?” Seseorang
memberitahunya bahawa Sukhr kini hidup bersama orang-orang miskin yang
diasingkan kaumnya kerana kejahatan yang telah mereka lakukan.
Rithah kemudian kembali ke Makkah dengan membawa kesedihan.
Ketika sampai di rumahnya, dia menutup pintu kemudian menangis. Dia terus
menangis siang dan malam memerah air matanya sendiri. Sejak itu dia tak mahu
makan dan minum.
Namun, tiba-tiba tangannya meraih sepotong roti yang sudah
kering. Rupa-rupanya, keinginannya untuk hidup masih lebih kuat daripada
keinginannya untuk mati. Tetapi, kenikmatan hidup apakah yang dirasakannya?
Sebatang kara, dan sedih kerana harapannya yang musnah ...
Suatu hari, tangannya meraih alat pemintal yang biasa digunakan
oleh ibunya untuk memintal sutera. Dengan jari-jarinya dia mula memutar alat
itu. Dia memintal sepotong bulu domba dan setelah selesai menyusunnya kembali.
Kemudian memintalnya lagi dan begitu terus-menerus. Tiga kali, empat kali
dan... tanpa disedarinya malam telah menjadi larut.
Rithah berdiri, berjalan dengan malas menuju lampu minyak dan
kemudian menyalakannya. Kedua matanya terpaku memandang bulu domba yang telah
dipintalnya sambil bertanya-tanya dalam hati, ”Untuk siapakah dia memintal?
Apakah dia kekurangan harta, padahal Sukhr telah banyak mencuri hartanya tetapi
hartanya masih banyak juga. Apakah dia menenunnya untuk membuat pakaian? Untuk
siapa pakaian itu? Untuk dirinya, agar dia dapat berhias diri? Tetapi untuk
siapa dia berdandan? Untuk suaminya? Bukankah suaminya telah menipu? Untuk
anaknya? Bukankah dia tak mempunyai anak? Kalau begitu, untuk siapa?”
Pertanyaan-pertanyaan itu seolah-olah petir yang memekakkan
kedua telinganya. Tanpa disedari, dia menjulurkan kedua tangannya meraih
benang-benang yang telah dipintalnya sepanjang hari itu, kemudian
menceraikannya kembali satu persatu... Kemudian dia tidur di atas permaidani.
Pagi harinya, dia kembali berkeinginan untuk memintal. Dia
meraih alat pemintal dan mula memintal. Jika telah selesai, dia memandang hasil
pintalannya seperti orang gila. Dia diam sejenak, kemudian dia mengangkat
kepalanya, bangun dan keluar dari rumah dengan membawa sekantung wang untuk
membeli benang sebanyak-banyaknya. Tetapi, apakah gunanya memintal benang
sebanyak itu?
Dia juga menemui gadis-gadis untuk disuruhnya memintal, dan
mereka diberi upah masing-masing satu dirham. Setiap pagi gadis-gadis itu
datang ke rumah Rithah, sementara Rithah duduk di tengah-tengah mereka,
kemudian memintal bersama-sama.
Apabila telah selesai, sebelum matahari terbenam, Rithah
membayar upah mereka. Sesudah gadis-gadis itu pulang, mulalah dia meraih hasil
tenunan tadi, kemudian menceraikannya kembali dalam kegelapan. Rithah merasa
bahawa dunia telah menghancurkan segala harapan dan keinginannya.
Itulah akhir kisah Rithah.
-KEJERNIHAN WAJAHMU
Sempurna pada pandanganku
Kau kirana
KETURUNAN TERPILIH
Disanjung serta dihormati
Kau permata
KESEDERHANAANMU
Mengecap kekayaan dunia
Kau mestika
KETAQWAAN DIRIMU
Itu yang merantai jiwaku.........